loading...

Guru didakwa beri rasuah bulanan kepada polis..

 


SHAH ALAM – Seorang guru sekolah rendah di daerah ini didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan memberikan rasuah secara bulanan sebanyak RM9,000 kepada pegawai dan anggota polis agar tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asingnya di antara 2019 dan 2020.

Tertuduh, Norimi Hashim, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan asal dan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut enam pertuduhan asal dan pilihan, Norimi sebagai pemilik syarikat pembekalan tenaga kerja asing telah memberikan rasuah kepada seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Selangor dan dua Sarjan masing-masing di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Pemberian itu adalah secara berperingkat dengan nilai keseluruhan RM9,000 menerusi akaun bank Umi Group Resources dan Umi Aqief Enterprise yang merupakan syarikat milik tertuduh.

Perbuatan itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Wisma Anggerik, Jalan Perbahan 26/2 Hicom Industrial Park di sini bermula 7 Mac 2019 sehingga 15 Jun 2020.

Bagi pertuduhan asal, tertuduh yang merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, Norimi juga boleh dipenjara sehingga 15 tahun atau denda atau kedua-dua sekali sekiranya disabit kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan untuk pertuduhan pilihan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM30,000 bersama seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap awal bulan setiap bulan.

Peguam Mohd. Yusri Mohd. Yusoff mewakili Norimi memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 susulan anak guamnya terpaksa menanggung dua anaknya berusia tujuh dan 10 tahun selepas berpisah dengan bekas suaminya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.