loading...

Warga asing cabul remaja ketika jual aiskrim

 


KEPALA BATAS: Polis menahan seorang lelaki warga asing semalam selepas dipercayai mencabul seorang remaja ketika menjual aiskrim kepada mangsa dan adiknya di Taman Seri Indah, di sini. Dalam kejadian jam 4.45 petang kelmarin itu, mangsa berusia 14 tahun bersama adik perempuannya berusia enam tahun ingin membeli aiskrim dijual lelaki berusia 25 tahun itu di hadapan rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa menahan motosikal suspek untuk membeli aiskrim. "Ketika mangsa memilih aiskrim, suspek secara tiba-tiba didakwa memegang bahu mangsa hingga menyebabkan remaja itu terkejut lalu berundur. "Suspek kemudian memberi aiskrim yang diminta adik mangsa dan ketika mahu membayar, suspek dikatakan memegang tangan mangsa lalu cuba menciumnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy yang ketakutan berlari masuk ke rumahnya dan menutup pagar. "Suspek yang masih berada di hadapan rumah mangsa, menunjukkan wang sambil memanggil mangsa berulang-kali supaya keluar sebelum beredar. "Mangsa menceritakan kejadian kepada keluarganya dan semalam suspek keluar menjual aiskrim di kawasan sama pada jam 4.30 petang sebelum dipukul oleh orang awam yang marah dengan perbuatannya mencabul mangsa. "Kejadian dimaklumkan kepada polis dan sebaik tiba di lokasi mendapati suspek cedera dipukul di mulut," katanya. Noorzainy berkata, suspek dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan sebelum ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Imigresen 1959 kerana tiada dokumen perjalanan sah. Klip video berdurasi dua minit 33 saat tular di media sosial yang memperlihatkan seorang lelaki warga asing dipukul kerana dikatakan mencabul seorang remaja perempuan. Noorzainy meminta orang awam tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat setempat. "Polis juga meminta kerjasama supaya jangan menyebarkan klip video itu kerana suspek sudah ditahan dan siasatan sedang dijalankan," katanya. 

Baca Juga : Mengenal Rebo Wekasan Sejarah, Tradisi dan Doa yang Biasa Diamalkan